Tajuk macam nak promo judi je.
Takdenye!
Minggu lepas, sedang dalam perjalanan pulang dari kedai, selepas menghantar anak dara aku pergi sekolah, masuk satu simpang, depan deretan kedai Hai-O dan kedai gunting rambut. Ada kedai Magnum4D kat situ. Ada restoran cina di kedua-dua belah hujung deretan kedai. Aku perlahankan kereta, bukan sebab nak singgah mana-mana kedai kat situ tapi kerana di depan aku ada seorang lelaki yang kelihatannya amat payah mengayuh basikal roda tiga yang sarat dengan kotak-kotak yang dilipat dan disusun rapi. Ada juga bekas plastik yang penuh dengan tin-tin aluminium dan botol-botol plastik minuman.
'Kasihan.' Detik hati aku. Atas rasa kasihan itu juga aku tidak membunyikan hon untuk menggesa beliau berlalu melintas dari belah kiri ke belah kanan jalan dengan pantas. Nampak macam beliau sangat kepenatan dan mungkin mahu berhenti membeli minuman di kedai berhampiran. Oh, ya... beliau kelihatan seperti seorang bangsa melayu.
Beliau berhenti depan kedai Magnum 4D tersebut. Tanpa prejudis dan syak wasangka, aku menyedapkan hati sendiri dengan mengandaikan basikal roda tiganya tidak muat untuk berhimpit di antara kereta yang memarkir di depan kedai Hai-O dan kedai gunting rambut. Namun hati aku terdetik untuk menunggu dan memerhati langkah lelaki tersebut. Mujur tidak ada sebarang kenderaan lain di belakangku. 'Tuhan bagi green light,' getus hatiku.
Hati aku hancur dan menjadi marah. Bilamana lelaki yang kelihatannya susah dan aku kasihankan tadi, melangkah selamba ke kaunter tiket kedai Magnum 4D tersebut.
Perkataan yang terhambur keluar dari mulut aku secara spontan; BODOH!
Kenapa ya? Kenapa mesti judi? Sedih sungguh rasanya.
No comments:
Post a Comment