Sewaktu sedang sibuk² google tentang headband cantik dan murah untuk anak² dara ni, aku dikejutkan dengan satu soalan dari Dalia.
Anak sulung aku yang menginjak usia 7 tahun ni, mendekati aku dengan wajah penuh persoalan namun tenang.
'Ma, nanti kalau hari kiamat, bumi bergegar kan? Lepas tu kita semua mati, kan? Nanti kakak tak kenal mama, kan? Dah lepas tu nanti, kita boleh jumpa balik tak?'
Aduh! Beratnya soalan itu. Perlahan aku menarik nafas, dalam usaha merangka-rangka ayat agar jawapan aku nanti memuaskan hatinya. Lama juga aku tumakninah. Sehingga membuahkan tandatanya di wajahnya. Sesungguhnya, tidak pernah terlintas di benakku persoalan sedemikian akan dibangkitkan oleh anak semuda itu.
' Kalau mama tak tinggal solat, jadi orang yang baik, jaga anak2 mama dengan baik, dan kakakpun jadi anak yang baik, mendengar kata, Insya Allah kita boleh jumpa.' Dalia seakan faham. Dia berlalu dan duduk sebentar di sofa, sebelum datang kembali pada aku, memberitahu yang dia mahu masuk tidur.
Selang dua minit, aku terdengar esakan dari dalam bilik. Aku tahu anak dara aku yang satu itu sensitif dan mudah terganggu emosi. (macam aku juga!) Seketika kemudian dia keluar dengan linangan airmata dan mata yang membengkak, lalu memeluk aku. Dalam berat menahan emosi, aku tanyakan padanya, 'Kenapa kakak menangis? Kakak takut kita tak jumpa nanti ya?' Dan saat ini aku sudah mulai sebak. Dia mengangguk. Pelukan makin erat dan mulutnya melafazkan, 'kakak sayang mama..' sambil airmata jatuh makin laju.
Untuk menenangkan hatinya, aku bersuara seraya memujuk hati kami berdua...
'Allah Maha Penyayang. Dia tak pernah bencikan kita. Dia dah janji, setiap umat Islam, pasti masuk syurga. Selagi kita ikut suruhan Dia, kita mesti dapat masuk syurga. Kalau kita masuk syurga, mesti kita dapat jumpa, kan? Nanti Allah sediakan rumah besar untuk kita semua.'
..dan saat ini, mata aku sudah tidak mampu lagi membendung airnya... empangan pecah juga.
Erza Dalia sayang.
Sesungguhnya syurga dan neraka itu hakNya. Mama tidak mampu untuk berkata yang indah-indah untuk sekadar menyedapkan hati kita. Mama hanya mampu untuk membuat Kakak yakin akan kewujudan Allah yang Esa. Mama juga masih banyak khilaf dan silapnya. Masih banyak yang perlu mama pelajari dan ketahui, agar dapat mama turunkan ilmu kepada anak-anak nanti. Masih jauh langkah yang perlu mama selusuri, agar anak-anak dapat meniti dan melaluinya dewasa nanti, setidaknya kurang onak dan duri. Setiap nafas kita hembus, setiap kerlipan mata kita, setiap degupan jantung kita, adalah hakNya. Berdoalah sayang, agar hati kita tetap padaNya. Mama takkan mampu mengharungi semua dugaanNya dalam membesar dan mendidik Kakak dan adik-adik, tanpa bantuan dan pengertian dari anak-anak mama. Bantu mama, dengan menjadi anak yang soleh dan solehah, agar dapat kita berjumpa, bersatu semula sebagai sebuah keluarga bahagia, di Syurga sana dengan izinNya!
No comments:
Post a Comment