aku ingat lagi masa memula dapat Dalia dulu..rasa happy bila bergelar 'ibu'. agaknya inilah perasaan setiap insan yang dapat title ni. beza beb..ada satu perasaan nun hujung di sudut hati yang bisa membuat kita terpegun dan syahdu seketika.
catatan ini aku buat masa Dalia baru 2 thn...13/06/2006
Dalia, buah hati pengarang jantung mama dan papa. Ziyad juga sama, namun tidak serupa dengan Dalia yang merupakan anak pertama, malah cucu pertama kedua-dua belah pihak, papa dan mamanya. Apa saja yang dilakukannya mengusik jiwa. Senyum tawanya, tangis dan rengeknya, sentiasa menjadi ingatan. Anak yang bijak mengambil hati papa dan mama. Ada saja cara untuk menarik perhatian. Namun, sepanjang hampir dua tahun usianya, saat dia berusia 10 bulan adalah yang paling menyedihkan. Untuk mencatatkannya di sini saja sudah membuat airmataku bergenang dan hatiku sebak. Dalia, tiba-tiba demam. Bukan sehari dua, bukan juga seminggu tetapi mencecah sebulan. Tuhan saja yang tahu betapa seksanya jiwa ragaku ketika itu. Sedih marah dan kesal masih ada sehingga hari ini. Maklum, sebagai ibu muda aku kadangkala tidak mempunyai sifat sabar yang tinggi. Sewaktu Dalia demam, rengekannya ku anggap sebagai sesuatu yang merimaskan. Dalia ku marah, ku pukul. Dia sudah pandai meniarap sejak umurnya 7 bulan dan merangkak sebulan selepas itu, malah sudah boleh berdiri ketika itu, namun mungkin kerana keadaan kesihatannya, dia mengada-ngada. Ingin di dukung setiap ketika. Papanya juga sama, mudah marah dan ringan tangan dengan Dalia waktu itu. Apabila sampai saat aku terlalu keliru dan marah, kugesa juga suamiku untuk membawa Dalia ke pakar kanak-kanak. Mujur Dalia sekadar demam ringan dan yang selebihnya adalah proses peralihan. Dia tahu akan mempunyai adik tidak lama lagi dan tingkah lakunya itu sebagai tindak balas normalnya. Sejak kami mula memahami tingkahnya yang inginkan perhatian, dia mula beransur sihat, atau mungkin mula mengerti bahawa kami tidak mungkin akan mengurangkan kasih sayang kami terhadapnya, meski akan ada adik 5 atau sepuluh sekalipun. Alhamdulillah, Dalia sihat sepenuhnya menjelang usianya 1 tahun. Sudah tumbuh gigi, senyumnya makin berseri. Sudah pandai berkata-kata walau cuma beberapa perkataan. Yang pastinya papa dan mama adalah antara perkataan pertamanya. Namun begitu Dalia agak berat mulut. Meski tika di agah, dia hanya menganga, ketawa tanpa suara. Namun itu sudah cukup membuatkan sesiapapun geram dengannya. Malam aidilfitri 2005, Dalia melangkah buat pertama kalinya. namun cuma dua langkah. Papa sedang sibuk menyediakan api untuk bbq malam itu, tidak berkesempatan melihat langkah pertama buah hatinya. Hanya atuk dan opah menjadi saksi. Sekarang Dalia sudah boleh berlari. Meski hayunan tangan lebih laju dari larian, dia tetap mencuit hati.
No comments:
Post a Comment